KUALA LUMPUR: Kasino burung walet! Bunyinya pelik, namun itulah ungkapan diberikan penduduk sekitar Kampung Pulai dan Kampung Sungai Burung, Sungai Besar, Selangor serta Jalan Slim Lama, Tanjung Malim, Perak, dekat sini yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk berjudi di pusat perjudian haram tersorok itu.
Yang mengecewakan, selain penduduk kebanyakannya nelayan di Sungai Besar, pusat perjudian 24 jam itu membenarkan kanak-kanak memasuki premis, terutama pada musim cuti sekolah, kerana mereka memiliki wang poket selepas mengikut bapa atau bekerja sambilan sebagai nelayan.
Wartawan Metro Ahad yang menerima maklumat mengenai kewujudan pusat itu berjaya menjejaki dua daripadanya sebelum menyusup masuk dengan menyamar sebagai pelanggan.
Ketika masuk di pusat perjudian Kampung Pulai, kira-kira 15 pelanggan berada dalam premis menghadap komputer masing-masing manakala di bahagian depan pula, sekumpulan remaja asyik bermain snuker.
Mereka kemudian terhenti seketika dan memandang wartawan dengan penuh curiga sebelum seorang demi seorang, terutama pelanggan remaja, beredar dari bangunan itu.
Menyedari kehadiran tidak disenangi serta mula mendatangkan syak, wartawan membayar RM50 kepada penjaga kaunter untuk memasukkan kredit ke dalam komputer dan menekan tetikus selepas membuat pertaruhan serta berpura-pura kecewa kerana tewas.
Tidak sampai 15 minit, wang pertaruhan habis dan wartawan memasukkan kredit baru, seolah-olah pemain judi tegar.
Taktik itu berjaya dan beberapa pengunjung yang masih ada dalam premis terbabit tidak lagi mengendahkan wartawan dan peluang itu diambil untuk merakam gambar dari dalam bangunan.
Selepas selesai, wartawan berhenti bermain lalu keluar dari bangunan dan berbual dengan beberapa lelaki di luar, kononnya kecewa kerana kehabisan wang RM100 dalam tempoh tidak sampai setengah jam.
Seorang daripadanya iaitu nelayan, Nasifi Byosro, 29, (bukan nama sebenar) mengaku ketagihan judi selepas dibawa ke pusat itu oleh kenalan dan lebih menggembirakan, dia memperoleh kemenangan RM300 dua hari berturut-turut, menyebabkannya sering berkunjung ke situ.
“Saya gembira ketika itu dan akibatnya, setiap kali bot mendarat dan selepas mengambil gaji daripada tauke, saya terus ke pusat perjudian untuk bertaruh, namun keputusannya mengecewakan apabila tuah tidak lagi memihak kepada saya.
“Kini, saya sering kalah dan jika dihitung, saya kerugian RM3,000 setiap bulan akibat pertaruhan dan ia hasil gaji harian sebagai nelayan pantai serta kerja upah yang diambil secara sambilan di kampung,” katanya.
Menurutnya, walaupun kadangkala timbul perasaan insaf, dia tidak mampu mengawal nafsu ketagihan terutama jika mempunyai wang, namun bernasib baik kerana belum berkahwin dan masih menetap dengan keluarga di rumah pusaka.
“Sejak terbabit dengan aktiviti perjudian, poket saya selalu kering dan untuk mendapatkan duit rokok, saya terpaksa mengutip biji sawit di tepi jalan atau kebun orang dan biasanya pemilik kebun tidak kisah asalkan saya tidak melarikan tandan kelapa sawitnya.
“Apapun, saya biasanya memberitahu pemilik mengenai perkara itu, lagipun biji sawit masih bernilai dan membazir jika dibiarkan begitu saja,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, ada juga individu sanggup mencuri kelapa sawit milik pekebun di situ dan akibatnya, ‘pencari’ sawit kecil-kecilan sepertinya sering dipandang serong.
Sementara itu, pelajar, Mohd Dasimi Kasran, 15 (bukan nama sebenar) berkata, pusat perjudian itu bukan saja menjadi tempat golongan sepertinya mencuba nasib mencari pendapatan lebih, tetapi turut menjadi lokasi sesuai untuk melepak dan melepaskan tekanan tanpa gangguan.
“Kalau di rumah, pasti ada perkara perlu dilakukan dan mak pula sering membebel jika saya merokok di rumah tetapi di sini, saya boleh berjumpa rakan dan jika tiada wang bertaruh, saya masih boleh bertaruh kecil-kecilan di meja snuker yang ada bersama rakan lain.
“Bapa tidak kisah sangat jika saya merokok kerana saya tidak meminta wangnya, sebaliknya bekerja sendiri pada musim cuti ini. Hanya ibu yang sering bersuara jika saya merokok di rumah dan saya rimas,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Metro Ahad mendapati selain bangunan burung walet, kedai yang menempatkan kolam udang turut dijadikan premis perjudian, selain rumah kedai lain yang bertaburan sekitar kawasan terbabit.
sumber : kosmo
No comments:
Post a Comment