KUALA LUMPUR: “Saya tawarkan RM5,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat hingga tertangkapnya pencuri itu,” kata pelakon popular yang juga pengarah, Fauzi Nawawi.
Beliau berkata selepas geram dengan tindakan seorang pekerjanya warga Bangladesh berusia 20-an yang melarikan RM118,000 wang hasil perniagaan dan peruntukan perbelanjaan restoran berasaskan makanan Iran miliknya di Jalan Liew Weng Chee Off Jalan Yap Kwan Seng, di sini, yang diusahakan bersama seorang rakan berasal dari Iran.
Kehilangan wang dan suspek disedari kakitangan restoran berkenaan jam 5 pagi kelmarin sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini.